Dalam tajuk ini, saya telah didedahkan dengan penggunaan komputer yang meluas dalam bilik darjah. Komputer boleh bertindak sebagai tool atau alat iaitu sebagai medium untuk menyampaikan maklumat yang berkesan kepada murid-murid dalam bilik darjah. Dalam konteks ini, komputer digunakan untuk membantu guru sebagai pemudahcara dalam pdpc kepada murid-murid. Pelbagai aplikasi atau laman web yang boleh digunakan dalam bilik darjah. Ditambahkan dengan kelajuan internet, mampu menjadikan pdpc menjadi lebih interaktif. Sebagai contoh, selepas sesi perbincangan, murid-murid boleh menghasilkan PowerPoint dengan menggunakan Ms PowerPoint. Ini telah menggantikan kertas majong dan marker yang membosankan. Apabila menggunakan Ms PowerPoint, murid-murid boleh menambah elemen bunyi, visual atau video. Malah, selain menggunakan Ms PowerPoint, murid-murid juga boleh menggunakan Powtoon atau Prenzi. Dalam pdpc yang terkini, saya telah menggalakkan murid-murid menggunakan Ms PowerPoint untuk perbentangan kumpulan. Memandangkan sekolah mempunyai masalah jaringan internet, maka perisian yang terkini tidak dapat digunakan.
Komputer juga bertindak sebagai tutor. Ini kerana komputer bertindak sebagai penyampai maklumat dalam pdpc sekaligus menyediakan bahan interaktif kepada murid-murid. Apabila komputer bertindak sebagai tutor, proses pembelajaran boleh terjadi di mana-mana sahaja. Terdapat beberapa pelantar yang telah dibangunkan oleh kementerian seperti VLE Frog. Melalui VLE Frog, murid-murid boleh menyiapkan latihan atau perbincangan tanpa keberadaan fizikal cikgu. Murid-murid hanya mengikut arahan komputer untuk menyelesaikan latihan.
Komputer juga bertindak sebagai tutee. Ini kerana komputer telah bertukar peranan dengan guru dan murid. Guru dan murid akan mengajar komputer untuk melaksanakan sesuatu tugas. Walau bagaimanapun, guru dan murid perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran bagaimana untuk mengarahkan komputer dalam melaksanakan sesuatu perkara.
Kesimpulannya, saya lebih menggemari komputer sebagai alat kerana faktor capaian internet di sekolah. Saya akan memaksimumkan bahan-bahan yang sedia ada sebelum pdpc bermula. Murid-murid yang berada di kawasan pedalaman lebih berasa seronok untuk menimba ilmu dengan adanya penggunaan teknologi.
Teknologi Terkini Berdasarkan penerangan daripada Dr. Fariza, terdapat banyak teknologi terkini yang mampu membawa perubahan besar kepada sistem pendidikan kita. Antara pembelajaran terkini yang diamalkan oleh Finland ialah Phenomenon-Based Learning (PBL). PBL ini merupakan kaedah pembelajaran kolaboratif. Penggunaan teknologi banyak digunapakai di dalam dan di luar bilik darjah. Oleh itu, banyak infrastruktur perlu diperbaharui di sekolah terutamanya capaian internet yang laju.
Sejak beberapa tahun, kementerian telah melancarkan VLE Frog, sejajar dengan pembelajaran teknologi di luar bilik darjah. Walau bagaimanapun, projek ini agak hambar terutama di Sabah dan Sarawak kerana kekangan bajet. Kini, kementerian telah mengatasi masalah tersebut dengan menyediakan VLE Frog secara offline.
Walaupun begitu, sebagai seorang guru, kita seharusnya lebih kreatif dan berinovasi dalam pdpc. Kita boleh mengaplikasikan beberapa teknik pembelajaran seperti menggantikan buku teks kepada aplikasi powtoon atau MS PowerPoint. Atau menggunakan walkie-talkie untuk sesi perbincanganpn. Sebagai contoh, letak beberapa kumpulan murid di pelbagai jarak dan kawasan. Murid-murid boleh memberi pendapat menggunakan walkie-talkie tanpa menunjukkan rupa.
TodaysMeet dan Padlet
Kedua-kedua perisian tersebut menggalakkan pembelajaran yang kolaboratif. TodaysMeet dan Padlet merupakan perisian perkongsian pendapat dengan cara menaip dan bukan bersuara. Pengguna hanya perlu menulis nama samaran dan memberi pendapat. Situasi mampu menggalakkan murid-murid berbincang tanpa perlu mengeluarkan suara. Setiap murid adalah unik dan berbeza. Terdapat murid yang ekstrovert manakala ada yang introvert. Perisian ini mampu menggalakkan murid-murid introvert berkongsi pendapat dalam sesuatu perbincangan. Pada pandangan saya, kedua-dua perisian ini memberi manfaat kepada pembelajaran abad ke-21 kerana ia mampu menghasilkan bilik darjah yang demokrasi yang mana murid-murid diberi peluang yang sama untuk mengutarakan pendapat.